
BUKIT MERTAJAM: Pada usia 11 tahun, Nurbaiti Mohd Dali sepatutnya menuntut ilmu di sekolah bersama rakan sebaya, sebaliknya dia terpaksa menjadi ‘suri rumah’ dan menguruskan keperluan ibunya yang mempunyai masalah obesiti.
Selepas bangun pagi, Nurbaiti mengambil alih tugas ibunya, Nurhaniza Ahmad, 36, dengan membasuh pakaian, memasak, mengambil air telaga serta menguruskan keperluan ibunya itu yang hanya terperap dalam rumah sejak dua tahun lalu.
Berikutan masalah obesiti dihadapinya, Nurhaniza dari Kebun Sireh, dekat sini, tidak mampu membuat kerja rumah kerana sukar bergerak namun bernasib baik kerana anak tunggalnya itu memahami dan sanggup membantu walaupun terpaksa meninggalkan alam persekolahan.
Nurhaniza yang mempunyai berat hampir 200 kilogram, berkata sebelum ini dia mampu membuat kerja rumah tetapi kini terpaksa bergantung pada Nurbaiti bagi menguruskan keperluan diri.
“Saya menghadapi masalah obesiti selepas mengambil ubat jamu dua tahun lalu. Mulanya, saya memakan ubat bagi mengurangkan sakit lutut tetapi lain pula jadi apabila kedua-dua kaki membengkak, manakala berat badan bertambah,” katanya ketika ditemui, semalam.
Nurhaniza antara lima keluarga dalam Parlimen Batu Kawan dilawati Sekretariat Pengaduan dan Kebajikan Rakyat Pulau Pinang (Sepakat) diketuai Ketua Pegawai Operasi, Azlina Mehtab Mohd Ishaq bersama Kor Perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai Dr Zubir Ahmad.
0 comments:
Post a Comment