
Dari Utusan Malaysia
Markom Giran (tengah) meluangkan masa menziarahi lima beradik yang dijaga Raja Fatimah Abu Bakar (dua dari kiri) di Kota Tinggi baru-baru ini.
KOTA TINGGI 7 Feb. - Keresahan seorang nenek, Raja Fatimah Abu Bakar, 76, mengenai masalah lima cucunya yang tidak bersekolah dan tiada dokumen diri akhirnya mendapat perhatian penduduk dan pemimpin masyarakat setempat.
Kanak-kanak malang itu, Norshara Danila, 14; Mohd. Haikal, 12; Adam Iskandar, 10; Nor Shahira, 9; Haris Fadillah, 7; Ahmad Nor Danish, 5; Alif Imran, 2, dan Mohd Hasrik, 1, ditinggalkan ibu bapa mereka di rumah neneknya dekat sini sejak kecil.
"Syukur Alhamdulillah, hanya itu yang dapat makcik ucapkan kerana masalah yang membebani makcik selama ini telah mendapat perhatian pihak berkenaan.
"Inilah saat yang paling gembira dan dinanti-nantikan dalam hidup makcik kerana cucu-cucu bakal dapat surat beranak dan belajar di sekolah," katanya yang ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Katanya, kelmarin wakil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama dan Sedili menemuinya bersama pegawai pejabat pelajaran daerah (PPD) Kota Tinggi bertanyakan masalah yang dihadapi ini.
"Selepas itu, banyak jabatan lain datang ke rumah bagi membantu menyelesaikan perkara ini dan hari ini anak makcik telah pergi ke pejabat pendaftaran bagi menguruskan pendaftaran anak-anaknya.
"Mudah-mudahan tidak lama lagi cucu-cucu makcik sudah boleh bersekolah seperti kanak-kanak yang lain," katanya lagi.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ), Markom Giran dan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Kota Tinggi, Samion Kassim yang sedang menghadiri majlis motivasi pelajar di Sekolah Menengah Agama Bandar Penawar di sini turut menziarahi keluarga warga emas itu.
Markom yang terharu dengan kes terpencil itu telah menyampaikan derma peribadi untuk persiapan pakaian seragam mereka dan berusaha menyekolahkan lima beradik tercicir itu dalam masa terdekat.
Fatimah berkata, sumbangan wang tunai RM500 itu akan digunakan untuk membeli pakaian seragam dan peralatan sekolah kelima-lima cucunya itu.
Menurut Markom, Kementerian Pelajaran sejak Januari 2003 telah melaksanakan Dasar Pendidikan Wajib di bawah Seksyen 29A, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) yang mewajibkan ibu bapa menghantar anak mereka bersekolah mulai Tahun Satu (1) sekolah rendah.
Katanya, selaras dengan pelaksanaan dasar itu, satu tabung yang dinamakan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) ditubuhkan untuk membantu ibu bapa yang tidak berkemampuan menghantar anak mereka ke sekolah dan seterusnya menjana kecemerlangan pendidikan mereka.
Menurutnya, KPM telah mengenal pasti bahawa antara faktor keciciran yang menyebabkan masalah buta huruf di kalangan kanak-kanak adalah disebabkan kemiskinan.
0 comments:
Post a Comment